Monday, June 8, 2009

Beras, Pisang dan Jambu batu.

“Abang.”
“Ya.”
“Ibu suruh beli beras.”
“Berapa?”
“Sekilo. Ibu cakap mintak hutang dulu dengan Nik Nah. Lusa ibu bayar.”

***

Kedai Nik Nah cuma 200 meter dari rumah. Melalui denai pinggir sungai, berjalan kaki mengambil masa 10 minit pergi, 10 minit balik. Kalau berlari, boleh jadi 10 minit pergi dan balik.

“Kenapa adik ikut abang?” Tanya Asri apabila Hasan melenggang di belakangnya.
Hasan sengih. Pipi celoreng, kedua gigi depannya hitam. “Adik lapar.”

Memang patut adik lapar. Sudah pukul 3 petang, adik belum jumpa nasi lagi sejak pagi. Abang pun lapar juga, Asri mengeluh.

“Tadi abang rebus pisang perak, cicah gula. Adik tak makan?”

Hasan geleng, menjuihkan bibirnya. Menunduk melihat selipar jepunnya sudah mahu tercabut gelangnya.

Sejak bila adik sudah pandai memilih makanan? Asri senyum. Juga geli hati melihat adiknya jalan tergedek-gedek gara-gara selipar yang terlebih saiz. “Habis kalau lapar, kenapa ikut abang? Duk rumah kan bagus...”

“Abang,” Hasan memandang mata kuyu abangnya. “Tepi sungai sana ada jambu.”
“Aih. Dah ada buah ke?”
Hasan angguk laju. “Hari ini mesti dah masak. Sebelum kena kebas, baik kita ambik.”
Asri memandang Hasan berbinar-binar. Langkahnya mulai cepat lalu berlari.

“Abang! Tunggu! Ha ha ha. Itu adik punya...” Hasan mengejar.

***

Sungai itu airnya jenih hijau. Tebingnya curam setinggi lima meter. Semak samun suka menghuni tebing sungai. Sumber air dekat, tanah endapan banjir pula amat subur. Maka benih-benih hanyutan air senang hidup, tumbuh dan melekat di sepanjang tebing. Selain mengindahkan, akar mencengkam tebing jamin kekukuhan semulajadi. Selain pokok ketapang, reba, getah, dan tebu lalang yang tidak boleh dimakan, kadang-kadang hinggap juga pokok-pokok jambu batu, rambutan, kerekut, ara, dan juga mangga. Ketika musim durian, ikan yang dikail, untung-untung buah durian hanyut yang diperoleh.

***

Sepohon pokok jambu batu mereka temui beberapa minggu lepas ketika mencari belalang perah di dalam semak di tebing sungai. Lokasinya di pertengahan jalan yang selalu mereka lalui untuk ke kedai Nik Nah. Tiada siapa punya, mereka yang jumpa maka merekalah yang punya. Mencari buah-buah liar di tebing sungai sebegini rutin mereka berdua. Sekurang-kurangnya, bagi mereka yang masih kecil, kemiskinan tidaklah begitu teruk. Mencari jambu batu liar, memanggang ikan dan udang yang dipancing, juga memanggang belalang perah yang ditangkap merupakan hobi yang menyeronokkan. Mengapa orang lain memandang kami dengan simpati?

***

“Kenapa ibu suruh beli beras tapi duit tak bagi?” Hasan mengomel. Mengelap-mengelap jambu dengan perut bajunya.
“Ibu takde duit dik.” Asri sudah mulai dewasa. Kemiskinan mempercepatkan prosesnya walau dia masih ada setahun untuk ke sekolah menengah.
“Buah ni sedap,” Hasan nganga luas untuk menancap gigi kecilnya ke dalam isi jambu batu sebesar bola tenis. “Tak makan nasi takpe.”

Sampai bila boleh tahan dik? Asri merenung adiknya. Ibu menjahit sampai berkudis tangan ibu. Ayah penat setiap petang. Batang getah ayah toreh mati-matian. Tuhan tidak kesiankan ibu dan ayah? Kenapa Tuhan tidak pandang wajah ayah ketika ayah berpeluh menoreh agar Tuhan boleh kasihankan ayah? Tidak kasihankah Tuhan akan ibu apabila ibu pura-pura kenyang agar kami berdua dapat makan bahagiannya? Begitupun lakonan ibu, Hasan masih juga kurus kering.

“Adik kena makan nasi. Jap lagi dapat beras, dapat makan nasi ek.” Asri mengelus rambut Hasan.
Hasan sengih lagi. “Okeh!”

***

“Asslamualaikum.”
“Waalaikummussalam. Ha Asri, nak beli apa?” Nik Nah senyum. Budak berdua ini pelanggannya. Kedai Nik Nah tidak besar, tapi apa-apa barang, penduduk Kampung Berenta Hulu akan cari di sini dahulu sebelum ke pasar mini di atas tembok jalan raya sana.

“Nak beras Nik Nah. Sekilo.”

Suara Asri kecil tapi bertenaga. Nik Nah kenal mereka berdua. Cukup-cukup kenal. Pelanggannya yang lain membeli beras dua tiga puluh kilo untuk stok sebulan, hanya mereka berdua yang membeli beras sekilo, cukup untuk 3 kali makan barangkali. Dan kali terakhir dua kanak-kanak ini datang membeli beras sekilo adalah 4 hari lepas. Ada sesuatu meruntun hatinya apabila merenung wajah Asri dan Hasan. Kalau bukan kerana dia sedang berniaga, dia dermakan sahaja berasnya. Akan tetapi, dia juga sedang mencari makan untuk anak-anaknya.

“Okey, ini berasnya.” Nik Nah senyum. Asri yang menyambut beras matanya kelihatan basah. Kenapa pula?

“Ibu minta hutang… Lusa… ibu bayar ye Nik Nah.” Suara Asri tersekat-sekat. Dia sudah mulai mengerti rasa aib diri. Kerana itu matanya basah. Hasan di sisinya pula melihat-lihat ke kotak-kotak gula-gula yang tersusun di rak. Budak kecil itu sempat menelan liur.

“Alah bukan tak biasa. Ambiklah, Nik Nah tahu ibu kamu akan bayar. Ibu kamu selalu pegang janji. Nik Nah kenal dia sangat.”

Senyuman Nik Nah senyuman yang ajaib. Rasa bersalah pudar serta-merta, Asri lega kerana Nik Nah memahami. Dia tarik lengan Hasan. Adik, abang tahu adik mahukan gula-gula itu. Maaf dik, abang takde duit. Lengan Hasan di tangan kiri, beras di tangan kanan, dia berjalan.

***

Alhamdulillah dik hari ini kita makan nasi. Sudah dua hari kita makan pisang rebus sampai adik jemu. Asri menggenggam erat beras di tangan kanannya. Di denai mereka terus berjalan.

Tiba-tiba Hasan berlari. Menyentap genggaman tangan abangnya.
“Kejar apa dik?”
“Belalang bang. Tangkap!”
“Tunggu dik!”
“Dup!!”

Asri tersepak tunggul lalu terjatuh. Beras di tangannya terburai, kecil-kecil bijian itu bertaburan di atas tanah keras berdebu. Bergenang air matanya. Sakit ada di kaki, aib ada di depan mata. Perut pula lapar. Harus cepat-cepat dikutip sebelum motor sesiapa lalu. Asri mendapati tangannya terketar-ketar.

“Adik! Salah adik. Tengok!”
“Maaf bang.”
“Sudah. Cepat tolong abang kutip.”

***

“Kenapa beras kotor? Plastik comot?” Ibu bertanya garang. “Jatuh?” Ibu merenung lutut Asri yang sedikit menggelupas.

Asri dan Hasan diam menunduk.

“Dah. Pergi mandi. Nanti ibu masak, kita makan ya.”

***

Bajunya masam. Baju Hasan juga masam. Pakaian-pakaian masam itu dia longgokkan di sudut bilik mandi. Petang nanti ibu akan basuhkan. “Tssss…” Asri mendengar ibu menggoreng ikan. Petang nanti ibu kena membasuh pula. Nak menjahit lagi. Ibu pasti penat. Asri mengambil timba, melontar ke dalam telaga.

“Adik dulu!” Hasan menjerit lalu duduk di kaki Asri sambil sengih-sengih. Seronoklah dia mandi ‘free’. Keceburr… Asri mengguyur Hasan dengan air telaga. Hasan meliuk-liuk sambil menggosok badannya dengan tangan kosong. Kita mandi tiada sabun, sebab itu baju kita cepat masam, adik tahu tak?

Adik masih kecil. Gigi baru mula nak rongak. Hati-hati adik gigit jambu tadi takut gigi hitamnya patah. Apa yang adik mengerti? Diri adik sendiri yang kurus kering pun adik tidak pasti kenapa.

Bukan salah adik. Bukan salah ibu. Bukan salah ayah. Semua salah Tuhan. Tuhan tidak adil!

***

Hati Asri sentiasa membentak. Otaknya pula dibentuk oleh kesusahan ibu dan ayah. Membesar dia dengan segunung motivasi. Pengalaman itu pelajaran paling berharga, semua orang tahu, tetapi hanya dia yang merasa.

Berdiri dia kini di dalam sebuah pejabat mewah. Kedua tangannya, dia merasakan sudah cukup kuat untuk melawan takdir. Melihat plan projek meganya, hatinya berbisik. ‘Kau jadikan aku susah, sekarang lihat aku di mana? Bangga ya memang aku bangga!’ Hati Asri membengkak. ‘Aku hidup sendiri, aku membesar sendiri. Kenapa aku perlu sembahyang? Ustaz Naufal itu apa yang dia tahu?’

Panas hatinya apabila kata-kata Naufal menyuruhnya solat terngiang-ngiang.

‘Tuhan jadikan ibu dan ayah susah. Aku jadikan mereka sekarang senang. Kenapa aku perlu sembahyang? Adilkah perkara itu untuk aku? Anak Sultan itu yang perlu sembahyang 20 kali sehari. Belum kenal duit sudah banyak duit.’

***

“Jadi awak salahkan Tuhan?”

Asri merenung wajah Izzati di depannya. Kawan kepada Hasan di UiTM, Izzati mulai rapat dengannya setelah diperkenalkan oleh Hasan. Hasan beritahu, Izzati seorang gadis baik. Dia memang mendambakan seorang isteri yang baik. Izzati juga cantik. Asri menyedut air oren di depannya agar suhu badannya terus sejuk, agar emosinya terjaga di hadapan Izzati.

“Tidak juga. Tetapi saya berdikari, sendiri saya ada hak. Itu hak saya.”

“Apa hak awak?”
“Hak saya untuk tidak mengikut suruhan. Cukuplah apa yang Dia buat kat keluarga saya.”
“Dia beri awak ruang. Dia beri awak oksigen. Kehidupan. Apa kata dia ambil balik hak Dia?”
“Kehidupan bagai neraka?”

“Awak rasa kalau Dia langsung tak bagi awak hidup, langsung tak bagi peluang untuk awak lahir ke dunia lebih baik?”

“Ya.” Asri tahu dia berbohong. Tetapi dia ego, sungguh dia ego. Di mana dia kalau langsung dia tidak dilahirkan?

“Awak angkuh, sombong. Awak berdendam sebab awak angkuh. Awak melihat kemiskinan itu sungguh dahsyat agar awak boleh memberontak. Padahal awak punyai satu kehidupan yang hebat, yang membahagiakan kini kerana dahulunya awak miskin. Kalau selepas ini awak berkahwin dan dikurniakan anak, apakah awak akan menyuruh anak awak sembahyang atau awak nak suruh anak awak sembah awak?”

Asri diam. Izzati… kenapa Hasan beria-ia mahu dia berkenalan dengan gadis petah ini? Adik... ada sesuatu yang mahu kau sampaikan kat abang?

Izzati bangun. Air laicikangnya dikecap pun tidak, kini sudah kelihatan mahu beredar.

“Awak… awak miskin,” Nada Izzati perlahan, “tapi awak punya ibu dan ayah yang mampu mendidik awak dengan baik. Saya… ibu ayah pun saya tiada. Tapi saya tidak salahkan Tuhan, kerana Dia beri semua manusia hak sama rata, takdir kelahiran yang buruk atau baik itu bukan penghalang untuk kita semua mencari kebahagiaan sendiri. Awak sudah berjaya, awak patut bersyukur. Setiap hari, beribu-ribu lagi kanak-kanak lahir di pelusuk-pelusuk kampung yang bakal mengalami apa yang awak telah alami. Tidakkah awak rasa Allah memberi awak kemewahan ini untuk membantu mereka-mereka ini? Tidakkah Allah memberikan kelahiran awak di dalam keluarga miskin untuk awak memahami mereka ini? Abang Asri, Allah beri nafas kepada semua manusia, apa yang Allah minta? Allah cuma mahu kita semua solat, ingat kat Dia. Itupun bukan untuk Dia, tapi agar kita sedar diri, agar kita tidak angkuh, tidak bongkak untuk membantu orang lain.”

Izzati berlalu meninggalkan Asri yang diam.

Di dalam diam itu dia teringatkan arwah Ayah Mat. Ayah Mat selekeh kopiahnya tengik. Tapi Ayah Mat orang senang dan ramah. Ayah Mat suka membelanja dia dan Hasan ais krim. Kadang-kadang Ayah Mat menziarahi ibu dan ayah untuk bertanya khabar. Ayah Mat sering ke surau. Semenjak dewasa, Asri pula tidak pernah ke surau. Tidak seperti Ayah Mat yang jiwanya bagai melekat dengan surau. Menjadikannya seorang yang Asri kagumi.

Siapa aku?
Hatinya bertanya. Aku bongkak sendiri, sedikitpun tidak mengenyangkan perut-perut kanak-kanak yang lapar.

“Izzati!” Asri bangun mengejar.

Izzati pegun. Tidak mahu berpaling tetapi menunggu. Teriakan lantang Asri membuatkan beberapa pelajar yang sedang menikmati makanan melihat ke arahnya. Ada yang berbisik-bisik.

“Izzati.” Asri memintas dan berdiri menghadap Izzati. Dua pasang mata bertemu. “Thanks.” Asri senyum. Izzati menitis sudah airmatanya. Bukan kerana Asri, tetapi kerana mengingatkan diri sendiri yang tidak pernah mengenali ibu dan bapa. Bagaimana rupa mereka? Asri kalau tika ini dia masih kecil, terus dia akan menangis. Tetapi kini dia sudah berumur 28 tahun. Bussinessman berjaya pula. Bebola matanya cuma suam-suam lembab saja. Tetapi hatinya di dalam sudah cair.

“Assalamualaikum.” Dengan senyuman, dia meninggalkan Izzati. Dia kini tahu, dia mahu ke mana.

***

Kalau Tuhan memilih tempat lahirmu kerana sayang, kehidupan nan indah ini sia-sia. Tercampak kita di mana-mana kerana sayangNya. Yang menentukan bahagia bukan persekitaran di luar, tetapi persekitaran di dalam. Itulah hati.


*** TAMAT***


7 comments:

paranoid childish said... "

best cerpen mu, meleleh airmata aku heheheeh

MatBURN said... "

pos satu novelmu siap ngan otograp penulisnya

thehehe..

bewok ni sejak dua menjak ni aku tengok jiwa dia semakin sensitip.. kau sedang di lamun cinta incik bewok?

haha

khairi said... "

huhu. insyaAllah aku pos. nnt remind aku :)

bewok tu aku rasa pong dia sedang di ejas oleh seorang awek. mungkin awek yg reply pjg berjele itu sebenarnya. huhu.

Brahimnyior said... "

Syahdunya, terutama mengenang jasa orang tua. Orang tua saya dah tiada di dunia ni,..Itu sebab kalu cuti, saya pastikan kami balik ke ZBatu Rakit, sebab itulah sahaja yang tinggal untuk anak-anak saya panggil "Tokki" dan "Tuk"...

Menarik, tapi plot agak mendatar. Masukkan unsur suspen, pasti pembaca tertanya-tanya jalan cerita berikutnya.

Teruskan, Khairi.

paranoid childish said... "

matburn: aku kn lelaki romanis, saje xnk tunjuk. klu x masakan aku le bertukar2 pasangan cm tukar spender? muahahaahah

kuba: spekulasi ko hampeh la. yg komen berjela2 tu kobeh la hahaahah

Khairi said... "

paranoid childish,

kobes? akak kobes? Lama xjumpa kobes. dia ada blog x?

Izzudin Ali,

Thanks komen. Cuma kenangan zmn kecil dan ingtan untuk diri sendiri. :)

Cindai said... "

Pandai lah...
mengadunkan ayat-ayat tu...

Zana suka gak dlm bab2 penulisan nie...
tapi.......... hanya tertinta dlm minda je lah... :-)

Post a Comment

Recent comments