Tuesday, June 9, 2009

Matlamat Hidup...

Saban hari saya melihat masyarakat di sekeliling saya punyai banyak masalah sosial, masalah keperibadian dan masalah jiwa/agama manakala saya pula berada di pejabat sibuk menyelesaikan masalah teknikal di negara orang lain? Jadi terdetik rasa bersalah. Kenapa saya tidak boleh melakukan sesuatu untuk merubah?

Pernah saya terfikir untuk menjadi artis kerana saya rasa saya boleh menyanyi. Dengan cara menyanyi itu saya boleh mendekati masyarakat untuk menterbalikkan cara pemikiran mereka. Tetapi saya tidak berani untuk ke mana-mana ujibakat. Lalu saya memilih untuk menulis saja. memandangkan penulisan bukan bidang saya, maka saya menulis sekadarnya, dengan harapan orang memahami maksud saya.

Itu objektif penulisan saya ini iaitu menyampaikan rasa hati.

Semua benda punyai tujuan kewujudannya hatta seekor semut sekalipun. Apatah lagi perkara paling besar untuk setiap orang iaitu hidup kita semua. Objektif hidup kita dan objektif tulisan ini, bukan secara kebetulan, adalah sama dan serupa. Oleh kerana blog ini ditulis oleh saya, maka saya yang menentukan objektifnya. Dan oleh kerana kehidupan kita bukan kehendak kita, bukan pilihan kita, bukan perancangan kita, tetapi perancangan Tuhan, maka objektif kehidupan kita ditentukan bukan oleh kita sendiri, tetapi ditentukan oleh penciptanya iaitu Tuhan. Tetapi tidak sukar untuk mengetahuinya kerana Tuhan telah meletakkannya di dalam diri kita, tinggal untuk kita mencarinya.

Tidak kira siapa pun manusia, objektif hidup mereka adalah sama, bukan untuk beribadat, bukan untuk Tuhan, bukan untuk pahala, bukan untuk syurga tetapi… untuk bergembira. Saya tahu saya kedengaran menyalahi agama saya. Jangan cepat menghukum saya kerana saya pasti akan terangkan semua perkara ini.

Ya, Tuhan mencipta seluruh penciptaan agar manusia itu BERGEMBIRA.

Seorang muslim mungkin menyanggah saya. “Hidup dan mati muslim adalah untuk Allah. Bukan untuk bergembira berseronok sampai lalai dari menunaikan ibadat.” Begitu kata ‘sahabat’ saya itu.

Oh, solat itu tidak menggembirakan rupanya? Hehe. Kantoi :p

Okey, dengar saya dahulu. Kita sering diajar oleh para motivator untuk memiliki cita-cita, iaitu objektif hidup. Ada pelbagai cita-cita di dalam setiap kepala, berdasarkan latar belakang masing-masing. Kebanyakan pelajar, cita-cita wujud dalam bentuk pekerjaan seperti doktor, guru, perdana menteri atau sebagainya kerana seringkali cita-cita dikaitkan dengan profesi. Bagi orang sedikit dewasa, cita-cita itu mungkin memiliki 3 buah banglo, menunaikan haji, memiliki isteri/suami segak, memiliki pernigaan menguntungkan dan sebagainya. Saya rasa selepas ini saya mahu ke rumah orang-orang tua pula untuk bertanyakan cita-cita mereka. Pasti menarik.

Walaupun berbeza, semua cita-cita itu sebenarnya adalah jambatan-jambatan kepada satu perkara yang sama. Ya, kebahagiaan. Lebih tepat lagi, kebahagiaan itu memberikan rasa apa? Rasa gembira.

Berbalik kepada saudara muslim yang menyanggah saya sebentar tadi. Kalau hidup dan mati awak kerana Allah, tidakkah ini membenarkan saya bahawa objektif hidup ini ditentukan Allah? Kalau objektif ini ditentukan oleh Allah, bermakna Allah bukan objektif hidup kita. Tak cukup rasional? Kalau objektif hidup manusia untuk Allah, tidakkah itu bermakna Allah berkehendakkan sesuatu daripada manusia? Bukankah itu sudah menyalahi sifat-sifatNya?

Maka lebih tepat untuk kita katakan hidup ini untuk beribadah. Diciptakan manusia itu untuk beribadah. Di sini perkataan ‘ibadah’ itu pula mulai diluaskan konteks definisinya. Bukan semata ibadah khusus, akan tetapi setiap perbuatan atau amalan muslim adalah ibadah. Jadilah ibadah itu luas pengertiannya, maka di mana hadnya? Sudah tentu perbuatan jahat/mungkar bukan lagi ibadah, kan?

Atau bolehkah kalau saya katakan, apa-apa saja yang muslim lakukan untuk menyenangkan hatinya (bergembira) dan juga menyenangkan hati (menggembirakan) muslim-muslim lain adalah ibadah?

Makan untuk menyenangkan perut sendiri dan mendapatkan tenaga untuk membantu muslim lain adalah ibadah. Berkerja untuk menyara diri dan keluarga dan memberi kerja (pasaran ekonomi) untuk muslim lain adalah ibadah. Solat untuk menenangkan hati sendiri agar dapat menenangkan pula hati muslim lain semasa muamalat harian adalah ibadah. Nahi mungkar (melarang perkara yang menyakiti orang lain), amar makruf (menggembirakan orang dan menyuruh orang menggembirakan orang lain) adalah ibadah. Bukankah ibadah-badah ini yang akan menjadikan bumi ini syurga yang dipenuhi senyuman, gelak ketawa, ketenangan, persahabatan, keharmonian, kasih sayang, cinta dan ruh-ruh syurgawi? Inilah yang, pada pendapat saya, Tuhan mahukan sesuai dengan penciptaanNya yang cantik, indah dan sempurna.

Maka ibadah itu bukan objektif tetapi adalah cara-cara untuk mencapai objektif akhir iaitu kegembiraan/kebahagiaan semua.

Ada juga muslim berkata dengan penuh semangat, “hidup saya untuk berjihad di jalan Allah, untuk menghapuskan semua kafir laknatullah.”

Apakah yang lebih buruk daripada seorang muslim munafik, hidup dengan nafsu amarah dan minda tertutup berjaya menakluk sebuah negara bukan Islam yang hidup aman damai dengan nilai-nilai kemanusiaan, sivik, moral dan keilmuan yang tinggi? Saudara, jihadlah untuk diri sendiri dahulu, dan ketahuilah tujuan jihad untuk untuk menyebarkan rahmat, bukan agama.

Saya yakin pasti ada yang terperanjat. Bukankah dakwah Rasulullah menyebarkan agama Islam? Ya, bukan. Dakwah Rasulullah menyebarkan rahmat, keamanan, ketamadunan dan ilmu yang tinggi, bukan Islam. Kerana itu di Madinah ketika di bawah pemerintah Rasulullah masih ada kaum Yahudi, masih ada penganut Kristian, ahli-ahli kitab dan agama-agama lain.

Fahami maksud saya, dakwah kita (muslim) untuk menyebarkan objektif kehidupan tentuan Tuhan iaitu Dia mahukan makhluk-makhlukNya hidup gembira (rahmatan lil ‘alamiin). Dan untuk tujuan itu, kita mencadangkan caraNya yang diredhai Allah yakni Islam. Rasulullah tidak pernah memaksa penduduk bumi memeluk Islam kerana baginda menghormati hak intelek semua, supaya tindakan yang timbul itu dari hati, bukan paksaan. Tiada paksaan di dalam beragama, bukan? Akan tetapi, kalau seorang penduduk Madinah mencuri, Rasulullah akan hukum orang itu tidak kira siapa dia kerana perbuatan mencuri itu adalah kezaliman. Tidakkah ini jelas?

Maka putarlah pusingan pemikiran itu biar betul agar tercapai objektif sebenar. Sebarkan kegembiraan dan sesuai dengan kepercayaan saudara, berhujahlah, cadanglah cara-caranya iaitu Islam. Benar, Islam itu adalah cara atau prinsip bukan tujuan hidup. Perkara ini akan saya sebutkan lagi nanti.

Seterusnya, kenapa perlu ada agama? Untuk apa Islam ini? Sudah jelas bukan. Kalau saya mahu hidup gembira, jiran saya juga mahu gembira, keluarga saya, rakyat-rakyat di negara saya, malah semua mahu gembira. Tidak pernah ada manusia mahu hidup berduka hatta orang gila sekalipun.

Kalaulah satu kegembiraan itu umpama seketul emas, apakah anda:
A. sanggup untuk membahagikannya atau;
B. mengambil ketul emas itu untuk awak seorang?

Adanya agama, mana-mana agama, adalah untuk memastikan semua manusia memilih jawapan A. Tuhan mahu kita membahagi-bahagikannya kerana Tuhan tidak pilih kasih, Tuhan maha adil, maka ya, kita kena bahagi-bahagikan kegembiraan kita dengan semua kerana itulah Tuhan memberi agama iaitu cara-cara atau lunas-lunas untuk hidup dengan betul.

Akan tetapi, dengan hukum feqahnya, tasawwufnya, tauhidnya, hukum syariahnya, malah dengan perbahasan-perbahasan yang kompleks itu, agama Islam seringkali tampak menyusahkan bukan lagi menggembirakan di mata anak muda sekarang. Betul tak?

Cuba beritahu saya, apakah mudah untuk awak gembira dan pada masa yang sama SEMUA orang di sekeliling awak juga gembira? Fikir-fikirkan.

Semakin berkembang penglibatan anda di dalam muamalat, semakin berkembanglah ke’kompleks’an agama itu untuk anda kerana anda perlu meng’average’kan kegembiraan ramai manusia yang lain-lain kehendak hatinya. Bukankah perkara ini memerlukan skill yang tinggi? Hukumnya memang begitu.

Rumusan di sini, laraskan kembali tujuan hidup. Hidup ini untuk bergembira. Dunia ini diciptakan sebegini indah untuk anda menikmatinya. Maka, gembirakan diri anda. Pada masa yang sama jangan biarkan kehendak anda untuk bergembira meragut kegembiraan orang lain yang punyai perasaan sama seperti anda. Maka cubalah hidup berdisiplin dengan disiplin yang menggembirakan iaitu Islam.

Akhlak paling mulia seorang manusia ialah, kegembiraan saudara-saudaranya diletakkan di hadapan kegembiraan sendiri.

Dan, ajaibnya seorang hamba Allah yang beriman ini, dengan menyaksikan orang lain bergembira, dia akan gembira. Andai dia mengetahui saudaranya berduka, dia akan berduka sebanyak lima puluh kali lipat dan berusaha untuk menghapuskan duka saudaranya itu walaupun dia terpaksa bergadai nyawa. Oleh kerana hatinya amat dekat dengan alam Tuhan, dalam perjuangan membela saudaranya itu, dia sebenarnya sedang bergembira dengan kegembiraan yang sukar difahami oleh orang kebanyakan.

Orang Islam pasti tahu siapa yang saya maksudkan. Ya, Rasulullah pejuang keadilan, sanggup bergadai nyawa untuk menghapuskan kebatilan. Baginda jelas sekali mahu melihat semua manusia tidak kira siapa bahagia dan gembira. Meski perjuangan baginda dipenuhi ranjau duka, Rasulullah adalah hamba Allah yang paling banyak dan paling manis senyumannya. Berselawatlah ke atas Rasul kita.

2 comments:

Tirana said... "

suka baca tulisan khairi yang ini..hidup untuk Allah atau hidup untuk beribadah kepada Allah? Tidak Ku jadikan manusia melainkan untuk beribadah kepada KU. Beribadah juga mempunyai pengertian yang luas (bukan ibadah khusus semata).. Apa saja yang baik tentu boleh dikategorikan sebagai ibadah. Tentu saja yang baik akan menggembirakan bukan saja diri sendiri malah orang lain juga..

Khairi said... "

THANKS KAK TIRANA, LIFE IS COMPLEX TO LEARN, WHEN WE COMPREHEND IT EVENTUALLY, IT IS ACTUALLY SIMPLE. KAN?

Post a Comment

Recent comments